Zero Jenayah Di Perairan Sabah Sepanjang PKP

MOHAMAD PAJERI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Akibat degil patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan perairan Sabah, sembilan individu ditangkap dalam empat kes berasingan di Kudat dan Kota Kinabalu sepanjang tempoh 14 hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, daripada jumlah itu lapan individu ditahan di perairan Kudat manakala, satu di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, bagi kes di Kota Kinabalu, individu berkenaan telah disabitkan hukuman selama 27 bulan penjara.

Kemudian ditanya mengenai kes melanggar pematuhan PKP di perairan Wilayah Persekutuan Labuan, Pajeri berkata, tiada sebarang kes dilaporkan setakat ini.

“Setakat ini semua aktiviti jenayah rentas sempadan adalah sifar. Tidak berlaku sebarang kes. Ia kerana semua pihak memainkan peranan kerana wabak ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Ia turut berlaku di Filipina dan seluruh dunia jadi, semua negara memainkan peranan masing-masing bagi mengekang pergerakan manusia.

“Atas sebab itu, kita bukan sahaja fokus mengawal pergerakan manusia yang berada di pulau untuk ke daratan tapi, kita juga menjaga perairan negara daripada jenayah rentas sempadan,” katanya selepas Mesyuarat Kerjasama Operasi Op Covid-19 antara PPM dan Maritim Malaysia cawangan Sabah, di sini hari ini.

Sementara itu,Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Sabah Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, kerjasama antara Maritim dan PPM ini sudah dimulakan sebelum krisis wabak Covid-19 bagi meronda zon maritim Sabah.

Katanya, dalam pelaksanaan Op Covid-19 ini, pemeriksaan seperti biasa cuma prosedur sahaja berubah dengan menjaga jarak selamat anggota maritim dengan mereka yang diperiksa.

Malah, pegawai dan anggota yang bertugas juga dibekalkan dengan peralatan pelindungan diri (PPE) yang disumbangkan oleh Ibu Pejabat Maritim Malaysia dan juga Jabatan Ketua Menteri Sabah.

“Ketika melakukan pemeriksaan, anggota kita mematuhi prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menjaga jarak satu meter. Pemeriksaan menyeluruh anggota badan hanya akan dibuat terhadap individu yang betul-betul mencurigakan,” jelasnya.