Zahid Khuatir Ada Dalang Dedah Maklumat Operasi ESSCom

764
Zahid Hamidi
Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan jika terdapat pihak yang mendedahkan kaedah pengoperasian pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sehingga kes penculikan kerap berlaku di kawasan perairan terbabit.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan sedemikian akan membuka kepada pihak musuh ruang dan waktu untuk bertindak.

“Saya tidak menuduh tetapi tidak mustahil berlaku,” katanya ketika mengulas insiden rompakan dan penculikan seorang rakyat Malaysia yang merupakan juragan sebuah bot nelayan oleh militan Abu Sayyaf di perairan Semporna berhampiran Pulau Gaya, malam tadi.

Bercakap kepada media selepas menutup Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata pihaknya sentiasa berwaspada mengenai Abu Sayaff, kumpulan yang menculik untuk tebusan yang sedang aktif mengumpul dana yang dikhuatiri digunakan untuk menyokong kumpulan pengganas dikenali Khatibah Nusantara.

Beliau berkata Khatibah Nusantara merupakan kumpulan pengganas yang bertindak menyatukan pelbagai kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Ruslan Sarapin, 39, diculik enam lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 26 lagi anak kapalnya di perairan berkenaan.

Kumpulan lelaki bersenjata api yang sama kemudian merompak sebuah lagi kapal nelayan yang dinaiki 19 anak kapal di perairan Tungku, Lahad Datu, setengah jam selepas rompakan pertama.

Beliau dalam pada itu berkata rakyat juga perlu memainkan peranan untuk membendung kejadian culik atau jenayah di kawasan berkenaan dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa jika sesuatu yang mencurigakan berlaku di sepanjang perairan sejauh 1,700km itu.