Zahid Hamidi Tandatangan Surat 30 MP UMNO Sokong Anwar

KHALID SAMAD

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai surat yang ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan 30 wakil rakyat UMNO menyokong Ketua Pembangkang itu.

Katanya, Anwar turut mempunyai surat yang ditandatangani wakil DAP, Lim Guan Eng dan Amanah, Mohamad Sabu bagi menyatakan sokongan untuk Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Khalid yang ditemubual Kini TV berkata, surat tersebut dibawa oleh Anwar ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim dia bawa surat daripada ketua parti yang menyatakan bahawa partinya Ahli Parlimennya menyokong Anwar Ibrahim, macam Amanah surat yang ditandatangani oleh Mat Sabu yang menyatakan 11 Ahli Parlimen Amanah menyokong Anwar.

“Daripada DAP surat daripada Lim Guan Eng yang ditandatangani oleh Lim Guan Eng yang mana disebut bahawa 42 Ahli Parlimen DAP sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, surat mungkin yang ditandatangani Anwar sendiri yang menyatakan 39 Ahli Parlimen PKR menyokong Anwar.

“Satu surat saya difahamkan daripada Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa 30 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar dan dikemukakan setakat itu sahaja dan untuk nak dapatkan nama-nama saya difahamkan Zahid Hamidi punya ada senarai nama dan selepas itu maka Yang di-Pertuan Agong memang seperti dinyatakan dijadualkan untuk bertemu dengan ketua-ketua parti ini,” katanya.

Kelmarin, Anwar hadir di Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka bagi menyatakan beliau mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Selepas itu, mesyuarat Biro Politik UMNO membuat keputusan mempertimbangkan untuk tidak lagi menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.