ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob selaku jurucakap kepada kumpulan ini mengisytiharkan lima ADUN UMNO Sabah keluar parti dengan serta-merta bagi menyertai Gagasan Rakyat yang diterajui oleh Datuk Seri Hajiji Noor.
Lima ADUN UMNO itu termasuk Yusof, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk [email protected] Awang (Balung).
Beliau berkata, kesemua ADUN UMNO itu bersedia dengan apa juga keputusan pimpinan parti dan mereka telah pun menerima surat tunjuk sebab daripada pimpinan UMNO susulan keputusan menyokong Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu, tiga bekas ADUN Warisan ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) turut bersama-sama kumpulan itu menyertai Gagasan Rakyat.
Yusof berkata, susulan keputusan itu, kesemua mereka sebulat suara menyokong kerajaan perpaduan diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala, di peringkat negeri menyokong Hajiji selaku Ketua Menteri dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Keputusan itu diambil setelah menyedari bahawa pemimpin-pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah parti tempatan Sabah untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami memahami tentang keperluan sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil, bersatu padu untuk mencapai pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.
“Perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Pada 6 Februari lalu, tiga bekas ADUN Warisan mengumumkan keluar parti bagi menjadi ADUN Bebas dan menyokong kerajaan GRS dibawah pimpinan Hajiji.