Yusof Yaacob Putuskan Sertai UMNO

KOTA KINABALU: Setelah berteka-teki selama lebih tujuh bulan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaacob memutuskan untuk menyertai UMNO.

Perkara itu dimaklumkan semasa ditanya mengenai hala tuju politiknya semasa ditemui pada Jamuan Aidilfitri BN Sabah kelmarin.

Yusof berkata, beliau telah mengemukakan borang permohonan menyertai UMNO namun, beliau masih menunggu masa yang tepat untuk mengumumkan perkara tersebut.

“Saya sudah membuat keputusan cuma belum mengumumkannya.

“Walau apa pun, kita harus melupakan perkara yang lalu dan kita kena lihat ke hadapan. Kami sayang generasi muda dan anak-anak muda ini perlu bimbingan. Kami yang berada di atas, tidak banyak yang kami fikir. Kami hanya fikirkan masa depan Sabah dan generasi muda,” katanya.

Yusof sekali lagi menyatakan bahawa beliau akan terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kepimpinan Perdana Menteri sama seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Katanya, jamuan raya itu memperlihatkan semua pemimpin hadir dan itu bermakna pemimpin lama sepertinya sudah bersedia untuk bersama.

“Seperti dikatakan Datuk Bung tadi, kita (di Sabah) sudah jauh ketinggalan jadi, ini masanya untuk pemimpin bersatu.

“Kehadiran Perdana Menteri juga menunjukkan dia mahu bersama rakyat Sabah dan kita akan merapatkan hubungan.

“Ini adalah asas untuk kita berunding dan menyatakan hasrat apa yang kita mahu untuk Sabah, kita tidak boleh berjauhan dengan pimpinan Pusat,” katanya.