Yusof Dilantik Pengerusi Qhazanah Sabah Khianati Keputusan UMNO

KOTA KINABALU: Tindakan membelakangkan keputusan UMNO Sabah ternyata tidak sia-sia apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob diumumkan sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad.

Sokongan yang diberikan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membolehkan ADUN Sindumin itu memperoleh jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab dalam mengendalikan pelaburan di Sabah.

Jawatan itu dahulunya dipegang oleh ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said yang telah dipecat pada 6 Januari lalu.

Selain Yusof, ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon turut menerima surat pelantikan daripada Hajiji dalam sebuah majlis ringkas di Menara Kinabalu hari ini.

Frankie yang juga Pengerusi DAP Sabah yang dilantik sebagai Pengerusi Pembangunan Sabah Berhad (SDB).

Yusof antara lima ADUN UMNO yang menentang keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertindak menarik sokongan daripada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah pada 6 Januari lalu.

Empat ADUN UMNO lain ialah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk).

Dalam rombakan Kabinet Negeri pada Rabu turut memperlihatkan Shahelmey dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya manakala, James Ratib dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Ends.