Yong Patut Beri Cuti Tambahan Perayaan Ketika Memerintah Sabah Dulu

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Tindakan Parti Progresif Sabah (SAPP) mengkritik niat baik Ketua Menteri dalam memberi cuti tambahan sempena Krismas seakan-akan tindakan cuba berselindung disebalik kegagalan lampau.

Jika SAPP mahu cuti tambahan bagi setiap perayaan, kenapa tidak lakukannya semasa zaman pemerintahan SAPP dahulu.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Putatan, Mohammad Firdaus Diun dalam satu kenyataan berkata, SAPP pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan suatu ketika dahulu dan Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee juga pernah menjadi Ketua Menteri.

Tindakan SAPP mempolitikkan niat murni Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal adalah cubaan berlindung disebalik kegagalan lampau mereka sebagai kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Timbalan Presiden SAPP Datuk Richard Yong yang mengkritik niat murni Ketua Menteri dalam memberi cuti tambahan sempena perayaan Krismas.

Beliau berkata, Richard perlu faham bahawa Sabah mempunyai populasi masyarakat yang beragama Kristian yang cukup ramai jadi, hormati rakan beragama lain dan biarkan mereka meraikan Krismas dengan penuh gembira.

“Mengumumkan cuti pada malam Krismas adalah keputusan yang praktikal dan realistik kerana ia memberi ruang kepada penganut Kristian untuk pulang ke kampung halaman masing-masing serta menghadiri upacara ‘midnight mass’.

“Masyarakat Sabah kebanyakan mengalu-alukan pengumuman itu namun, ada juga yang mempolitikkan keputusan kerajaan itu.

MOHAMMAD FIRDAUS

“Kita tidak seharusnya mempolitikkan isu ini sebaliknya berusaha membina keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau juga kecewa apabila Richard meminta cuti tambahan bagi perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, Richard mahu Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidifitri turut diberikan cuti tambahan. Namun, cuti Tahun Baharu Cina memang dua hari jadi perlukah cuti pada hari kedua Tahun Baharu Cina dipindahkan pada malam Tahun Baharu?.

“Untuk cuti hari raya, tidak perlu beliau bersuara untuk kita yang Muslim.

“Jika perlu cuti tambahan semasa perayaan, seseorang itu boleh memohon cuti tahunan,” ujarnya.

Mohammad Firdaus berkata, langkah Ketua Menteri mengumumkan 24 Disember sebagai cuti umum tambahan bermula dari tahun ini adalah tindakan berani yang harus dipuji.

Jika dilihat kepada senario politik pada masa ini, kerajaan pimpinan Warisan berusaha gigih untuk menyatupadukan rakyat di negeri ini.

“Kita bersyukur kerana kerajaan membuat keputusan sebegitu demi kebaikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita patut berbangga kerana tindakan Ketua Menteri dan Kabinet Sabah dalam mengembalikan semula cuti Krismas kepada dua hari seperti pernah dilaksanakan pada tahun 70an,” jelasnya.

Pengumumam cuti sempena Krismas pada 24 dan 25 Disember itu dibuat oleh Ketua Menteri semasa Majlis Perasmian Perayaan Krismas Kota Kinabalu pada 11 Disember.