‘Yong Patut Bangga Dengan Shafie’

KOTA KINABALU: Mantan Ketua Menteri Datuk Seri Yong dikecam kerana mengkritik seorang rakyat Sabah yang dicalonkan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua cabang Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong berkata, tidak ada undang-undang yang mewajibkan seorang Ketua Menteri untuk meletak jawatan sebelum dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri.

“Ini hanya pencalonan dan bukan pelantikan. Dari mana Yong membaca bahawa seseorang Ketua Menteri mesti meletak jawatan terlebih dahulu sebelum dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri? soalnya.

Beliau menambah, pengiktirafan kepada Sabah ini adalah tepat pada masanya selepas begitu lama Sabah diketepikan.

“Sebagai seorang rakyat Sabah, Yong harus menyambut baik dan menyokong pencalonan ini dan berbangga kerana seorang penduduk Sabah telah dicalonkan dan bukannya memberikan pendapat yang tidak masuk akal yang tidak ingin didengar oleh sesiapa pun.

“Adakah Yong berasa calon dari Semenanjung jauh lebih baik daripada orang Sabah? Mungkin Yong harus memberitahu kita mengapa beliau menganggap orang Sabah kurang berkelayakan berbanding pemimpin dari Semenanjung.”

Menurut Wong, sudah tiba masanya seorang Perdana Menteri dipilih dari Malaysia Timur yang boleh memberikan perspektif dan pendekatan berbeza untuk menangani konflik di antara kaum dan agama yang dihadapi oleh negara.

“Pada masa yang sama memberikan penyelesaian terhadap masalah lapuk yang sudah lama dihadapi oleh Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Beliau mempersoalkan, adakah Yong sebagai orang Sabah tidak menyedari bahawa dicalonkan untuk jawatan PM sudah menjadi satu sejarah bagi Sabah.

“Sebilangan besar orang Sabah walaupun bukan semua, pasti merasa bangga kerana akhirnya orang Sabah diberi pengiktirafan sewajarnya.

“Jadi apa yang Yong rasa tidak bagus? Mengapakah Yong cuba memandang rendah peristiwa bersejarah yang sangat penting ini dan sangat dekat dengan hati kebanyakan orang Sabah, walaupun bukan semua?”

Menurut Wong, sudah sampai masanya bagi semua rakyat Malaysia untuk memberi tumpuan kepada pembangunan negara dan bukan hanya sibuk berpolitik.

“Sudah waktunya untuk menamatkan kebuntuan politik dan ekonomi masa kini. Sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia mengalami perubahan paradigma baru. Ini juga masanya untuk memasuki sistem politik baru tanpa prejudis,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa harapan dan cita-cita ini, mampu dicapai oleh seorang pemimpin dari Sabah.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan baru-baru ini bahawa gabungan Pakatan Harapan Plus bersetuju dengan cadangan agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dicalonkan untuk jawatan tertinggi negara ini.