Yayasan Sabah Mesti Perkukuh Kewangan Bantu Sektor Pendidikan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri meminta Yayasan Sabah agar terus memperkukuhkan kedudukan kewangan agar pembiayaan biasiswa dalam sektor pendidikan dapat dipertingkatkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Yayasan Sabah perlu memastikan ketirisan dan amalan rasuah tidak lagi berlaku dalam agensi itu agar hasil yang diperolehi dapat dimanfaatkan demi pembangunan sektor pendidikan di Sabah.

Beliau memberi jaminan jika Kerajaan Negeri mempunyai lebihan kewangan, keutamaan akan diberi kepada sektor pendidikan.

“Dengan itu, Yayasan Sabah perlu menguruskan kewangannya dengan lebih baik supaya lebih banyak pelajar boleh dibantu melalui pembiayaan biasiswa.

”Kerajaan baharu ingin melihat agensi seperti Yayasan Sabah mempunyai kewangan yang mencukupi.

”Atas sebab itu saya meminta Yayasan Sabah menguruskan aktiviti pengorekan pasir bagi membolehkan Kerajaan Negeri membangunkan industri pembuatan kaca di Sabah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-30 dan Pelancaran Karnival Pendidikan & Kerjaya Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-30 dan Pelancaran Karnival Pendidikan & Kerjaya Negeri Sabah, di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Dalam majlis itu, sebanyak 40 orang pelajar cemerlang menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah.

Dalam pembangunan industri pembuatan kaca yang dijangka akan dilaksana pada tahun ini, Mohd Shafie akan meminta Yayasan Sabah menguruskan pengambilan pasir dan juga selica di Pulau Balambangan, Kudat.

Pembangunan industri pembuatan kaca akan dilaksana oleh Kerajaan Negeri dalam sedikit masa lagi apabila pelaburan bernilai RM3bilion itu dipersetujui oleh pelabur dari China.

Bagi meningkatkan hasil Yayaysan Sabah, Kerajaan Negeri baru-baru ini memutuskan beberapa konsesi balak dikembalikan kepada Yayasan Sabah supaya mereka boleh menguruskan sendiri hasil pembalakan itu.

Beliau berharap Yayasan Sabah akan membantu kerajaan dalam meningkatkan martabat sektor pendidikan.

Sementara itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, penganjuran karnival pendidikan dan kerjaya itu disertai lebih 180 gerai pameran termasuk institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan swasta.

Karnival kerjaya sebegitu antara usaha yang dilakukan kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.

Yusof berkata, Kementerian Pelajaran & Inovasi bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan ada koordinasi dalam mengatasi masalah pengangguran dan peruntukan dalam sektor pendidikan.

Karnival selama tiga hari (3-5 Mei) itu dijangka akan dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria.