Yayasan Sabah Komited Laksana Pengurusan Mampan Kawasan Konservasi

Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon.
Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon.

KOTA KINABALU – Kumpulan Yayasan Sabah akan terus komited dan prihatin dalam melaksanakan pengurusan kawasan konservasi di negeri ini agar seimbang dengan pembangunan lain, kata Pengarahnya Datuk Sapawi Ahmad.

Katanya kawasan konservasi seperti Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak telah berupaya menjadikan Sabah sebagai tumpuan pengurusan perlindungan hutan mampan dan destinasi ekopelancongan utama.

Rosmawati Lasuki
Rosmawati Lasuki

“Selain pelancong, para penyelidik dan saintis serta pencinta alam semula jadi juga merupakan pengunjung tegar kawasan alam semula jadi itu.

Kewujudan kawasan konservasi itu juga menunjukkan komitmen yayasan dalam program pembangunan lestari eko sistem alam semula jadi serta usaha pemuliharaan hutan,” katanya berucap merasmikan Seminar Tinjauan Hidupan Liar dan Sumber Lembah Danum 2016 di sini Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Rosmawati Lasuki.

Sapawi berkata seminar tersebut diadakan sebagai platform untuk 133 peserta yang menyertai tinjauan itu, pada 15 hingga 29 Ogos lepas, membentangkan hasil penemuan mereka.

Katanya tinjauan itu bagi memperoleh maklumat terkini kepelbagaian hidupan liar dan kekayaan di Lembah Danum, menilai potensi ancaman pemburuan, kebakaran dan pencerobohan dan melihat prospek pembangunan eko pelancongan.

Maklumat diperoleh daripada tinjauan itu akan dijadikan sebagai input bagi kajian separuh penggal Rancangan Pengurusan Strategik Lembah Danum (2010-2020).

Pada majlis itu, Rosmawati turut mewakili Sapawi bagi melancarkan penerbitan monograph bertajuk ‘Danum Valley The Rainforest’ yang dihasilkan oleh tiga penulis iaitu Hans Hazebroek, Datuk Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood dan Dr Waidi Sinun.

Buku setebal 568 muka surat itu merangkumi hasil penyelidikan di Lembah Danum selama 35 tahun lalu dan terdapat 260 gambar memaparkan keunikan flora dan fauna yang diyakini mampu menonjolkan lagi status kawasan itu di mata dunia.

Bercakap kepada pemberita, Hazebroek berkata mereka mengambil masa lebih empat tahun untuk menghasilkan buku itu termasuk membaca dan menyusun lebih 400 kajian melibatkan hasil dapatan daripada kira-kira 50 universiti dalam dan luar negara ke dalam bahan bacaan yang mudah difahami.