Yayasan Sabah Disaran Usahakan Terminal Makanan Di Tawau

2999
Shafie Apdal ditemuramah oleh media. 

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Selaras dengan usaha mentransformasikan Yayasan Sabah, agensi itu disaran supaya mengusahakan Terminal Makanan (food terminal) di Tawau.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Shafie Apdal berkata, langkah itu sebagai usaha menyediakan bekalan makanan yang mencukupi bukan sahaja untuk keperluan pasaran dalam negara tetapi, juga untuk luar negara.

“Pasaran yang ada hari ini bukan hanya dalam bidang perikanan bahkan, kita mempunyai keluasan tanah yang subur yang membolehkan kita menanam buah-buahan yang lebih spesifik supaya buah dikeluarkan kualitinya cukup baik. Sasaran kita bukan hanya (pasaran) dalam negara tetapi juga luar negara.

“Ini satu langkah yang baik dan memberi impak besar dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah,” katanya ketika mengulas tentang pelaksanaan Terminal Makanan dibawah kendalian Yayasan Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah, di sini pada Jumaat.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah ini berkata, mereka sedang mengenalpasti tapak bersesuaian di Tawau kerana tanah di sana agak subur untuk membolehkan terminal makanan itu diusahakan.

Untuk menyokong pelaksanaan terminal itu, Shafie juga telah meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) supaya menaiktaraf Lapangan Terbang Tawau bagi memastikan pengendalian kargo dapat dipertingkatkan.

Katanya, MAHB memaklumkan mereka ada penyediaan kewangan untuk membolehkan landasan sedia ada dipanjangkan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyatakan terminal makanan itu akan dilaksanakan di Luasong Tawau.