Yayasan Sabah Bukan Lagi Hanya Menjual Balak

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Projek pembangunan bernilai RM7 bilion di Meruntum, Lok Kawi yang dimeterai Yayasan Sabah dengan anak syarikat Pavillion Real Estate Investment Trust iaitu Tegas Bangsa Sdn. Bhd. (Tegas Bangsa) merupakan jawapan kepada dakwaan kononnya agensi itu dilanda masalah kewangan.

Pembangunan tersebut juga membuktikan bahawa Yayasan Sabah kini tidak lagi fokus kepada menjual balak semata-mata, sebaliknya sejak Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah, agensi itu kini mual beralih kepada pembangunan hartanah untuk menjana hasil dan membangunkan negeri.

Pengarahnya, Datuk Jamalul Kiram Mohd. Zakaria berkata, zaman Yayasan Sabah berbelanja besar walaupun tanpa pendapatan juga sudah berakhir, sebaliknya agensi itu kembali fokus kepada objektif penubuhannya untuk membangunkan sektor pendidikan negeri.

“Sebenarnya Yayasan Sabah bukan tiada duit tetapi kita hanya perlu berbelanja dengan berhemah sebab banyak kali dulu, Yayasan Sabah banyak berbelanja sebelum ini tetapi pendapatan kurang.

“Maka itu yang kita mahu, Yayasan Sabah ini sebetulnya perlu diperbaiki di mana ia menjalankan pendapatan setiap tahun yang mencukupi dengan program kita, program Yayasan Sabah yang penting mesti ada biasiswa, pinjaman, dermasiswa yang berkenaan pendidikan dan sedikit CSR (tanggungjawab sosial korporat),” katanya.

Jamalul berkata, sebelum ini, Yayasan Sabah turut memeterai perjanjian pembangunan di Waterfront, Kota Kinabalu bernilai RM350 juta.

Sementara itu, mengulas tentang perjanjian dengan Tegas Bangsa untuk membangunkan tanah agensi itu di Meruntum Lok Kawi, katanya, Yayasan Sabah telah lama mencari pelabur untuk masuk ke kawasan itu.

“Kita telah mencuba mencari lebih ramai pemaju untuk membangunkan kawasan itu sejak dulu dan berjaya mendapatkan satu syarikat tempatan iaitu Pavillion, projek ini kita akan adakan pembangunan bercampur ada taman tema, kondominium, kompleks beli-belah dan pejabat.

“Ia akan memakan masa 10 ke 12 tahun, kalau jadilah lapangan terbang di Papar, sangat bagus untuk kita, Tegas Bangsa adalah anak syarikat Pavillion Group,” katanya.