Yayasan Petronas menyebar luas keriangan perayaan Tahun Baharu Cina di Labuan

34

LABUAN: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, para pegawai PETRONAS wilayah Sabah dan Labuan hari ini menziarahi 20 rumah masyarakat Cina di Kampung Sg Keling di sini dan menghulurkan sumbangan menerusi program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas.

Program setengah hari itu disertai 20 kakitangan diterajui Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Methanol Sdn Bhd, Lawai Jok.

Penerima sumbangan ialah warga emas, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan keluarga dari kumpulan B40 dengan setiap mereka menerima ‘angpow’ dan barangan runcit terdiri daripada beras, minyak masak, gula dan garam.

Program anjuran Yayasan PETRONAS itu sebahagian daripada acara yang berlangsung di seluruh negara bertujuan menyebar luaskan keriangan perayaan kepada 1,500 rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik ketika meraikan tahun baharu.

Selain membawakan kegembiraan pada musim perayaan, program itu bertujuan menyemai dan meningkatkan semangat memberi dan kesukarelawanan dalam kalangan pekerja PETRONAS.

Yang turut hadir, ketua kampung Kampung Sg Keling, Tan Beng Hian, yang juga pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan ahli jawatankuasanya.