Yayasan Pembangunan Labuan Teroka Sektor Hartanah

99

LABUAN: Organisasi kebajikan, Yayasan Pembangunan Labuan (YPL), merancang meneroka bidang hartanah dengan mengambil alih hartanah sebagai sebahagian daripada aktiviti pembangunan ekonominya.

Pengerusinya Tan Sri Sukarti Wakiman berkata yayasan itu perlu bekerja keras untuk menjadi pemilik harta, termasuk hartanah, supaya dapat berdaya tahan dalam jangka panjang.

“Setelah memiliki hartanah, kami akan dapat menjana pendapatan untuk membiayai lima prinsip teras yayasan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Persatuan Pengamal Media Labuan.

Sukarti berkata yayasan itu mesti kekal releven kepada keperluan pembangunan ekonomi Labuan selari prinsipal terasnya untuk membantu warga Labuan dalam pelbagai bidang.

Lima prinsipal itu ialah pendidikan, sukan, pembangunan ekonomi dan program kebajikan.

“Kita perlu memperhalusi struktur sedia ada (lima prinsipal) untuk menyesuaikannya dengan keperluan pembangunan ekonomi semasa di Labuan supaya YPL dapat menjana pendapatan, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sukarti berkata prestasi operasi dua cabang pelaburan YPL — Labuan Holdings Sdn Bhd, yang mengurus Terminal Feri Antarabangsa Labuan, dan Pacific Samudera, syarikat pengurusan City College — kini pada tahap terbaik dalam sektor pengangkutan dan pendidikan.

“YPL memerlukan pembiayaan yang mencukupi untuk mengurus kedua-dua syarikat itu. Bagi City College, kami memerlukan pembiayaan tambahan untuk menambah program kebolehgajian dan kebolehpasaran bagi menarik lebh ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian di kolej ini terutama pelajar tempatan,” kata Sukarti.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengamal Media Labuan Jainudin Djimin berkata pengamal media akan bekerja sama dengan semua persatuan selari objektif untuk membantu ekonomi tempatan.