Yang Dipertua Negeri Sabah Buat Laporan Polis Terhadap Musa Aman

Gambar fail: Tun Juhar Mahiruddin, kiri, bersama Musa Aman.

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dilaporkan membuat laporan polis terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman, baru-baru ini.

Juhar membuat laporan berkenaan dipercayai mempunyai hubung kait dengan istiadat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada malam 10 Mei yang lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din, ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan laporan berkenaan namun enggan mengulas lanjut berhubung tujuan sebenar laporan itu dibuat.

Bagaimanapun Ramli menyatakan, tidak ada siasatan mengenai isu khianat dibuat ke atas seorang pemimpin kanan politik setakat ini.

Musa sebelum ini mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei lalu selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar dua hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN menyokong Warisan.

Ekoran keengganan Musa meletak jawatan, Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Sabah, Abinan Asli pada 14 Mei menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa bahawa beliau bukan lagi ketua menteri.

Susulan itu, pada 17 Mei lalu, Musa telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Juhar dan Mohd Shafie memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah. – Ruzaini Zulkepli, Astro Awani

BERITA PENUH DISINI: –

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tun-juhar-buat-laporan-polis-terhadap-musa-aman-175963