Yamani Hafez Masih Ahli Parlimen Bebas

HAFEZ MUSA

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa masih belum mengemukakan notis permohonan penukaran parti politik kepada Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, sehubungan itu, beliau masih lagi mewakili Bebas selepas meninggalkan UMNO awal tahun ini.

“Saya telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof bahawa Yamani Hafez masih belum mengemukakan notis penukaran parti politik secara rasmi kepada Dewan Rakyat.

“Oleh yang demikian, Yamani Hafez masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Yamani Hafez yang merupakan anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengumumkan keluar daripada UMNO awal tahun ini selepas parti itu hilang kuasa di Sabah.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Pemuda UMNO Sabah kemudiannya mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penyelaras Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor baru-baru ini berkata, Yamani Hafez telah menghantar borang untuk menyertai parti itu.