Wujudkan sistem pembakaran sisa pepejal lebih mesra alam

Jaujan (kanan), Liew (tengah) dan Micheal ketika pada kunjungan hormat itu.

Oleh AZIS KHAN

KOTA KINABALU: Usaha mengurangkan longgokan sisa pepejal di setiap kawasan mampu dilaksanakan sekiranya satu sistem pembakaran yang lebih mesra alam boleh diwujudkan pada kawasan perumahan di masa hadapan.

Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk V.K Liew berkata, cadangan berkenaan tepat pada masanya memandangkan Sandakan kini mengalami longgokan sampah yang sangat banyak sehingga terdapat lokasi dinamakan Bukti Sampah di kilometer 8.

“Longgokan sisa pepejal berkenaan membawa masalah kepada penduduk. Sandakan juga mempunyai keluasan yang sangat luas…ia terdiri kawasan seperti Sandakan Proper, Batu Sapi, Libaran, Kinabatangan dan Beluran.

“Sandakan mempunyai sistem pembakaran tetapi asap yang dihasilkan itu memberikan masalah kepada penduduk di sekitarnya khususnya dari segi kesihatan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Jaujan Sambakong, di sini pada Selasa.

Oleh yang demikian, Liew menjelaskan pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menyediakan kemudahan sistem yang lebih mesra alam serta mengurangkan impak terhadap kesihatan penduduk.

“Oleh itu, tujuan kunjungan hormat hari ini adalah khusus membincangkan perkara itu serta isu-isu berkaitan negara, negeri dan kawasan.

“Batu Sapi khususnya mempunyai lebih daripada 33 buah perkampungan, kampung-kampung berhadapan dengan masalah sisa pepejal.

“Sesetengah kawasan setinggan sudah digazetkan sebagai perkampungan , tetapi isu sisa pepejal dari lautan ke perkampungan menjadi masalah serius,” katanya.

Menurutnya, Menteri KKTP menjelaskan terdapat dua sistem pembakaran yang besar diguna pakai di Semporna.

“Oleh itu beliau (Jaujan) mencadangkan agar sistem pembakaran sisa pepejal mesra alam akan dibina di setiap perumahan pada masa hadpaan.

“Ini adalah idea yang baik dan saya menyokongnya, Batu Sapi khususnya memerlukan sistem berkenaan dan kami akan bekerja keras untuk mendapatkan sistem berkenaan,” katanya.

Selain itu katanya, Menteri KKTP juga mencadangkan agar kempen kebersihan akan terus dilakukan di seluruh perkampungan dalam negeri ini.

Katanya, KKTP mempunyai satu unit untuk tujuan berkenaan, Pejabat Parlimen Batu Sapi dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan mengadakan kerjasama bagi menganjurkan satu pertandingan.

“Pertandingan ini akan menggalakkan orang kampung untuk mengekalkan kebersihan di kampung masing-masing.

“Sekiranya bersih, kampung berkenaan akan diberikan anugerah. Anugerah ini akan diumumkan sendiri Menteri KKTP dalam tempoh terdekat,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Batu Sapi Micheal Tham.