Wujudkan Segera Pusat Panggilan Kecemasan Khusus Untuk Sabah – Loretto

KOTA KINABALU: Tragedi kebakaran yang meragut nyawa empat sekeluarga di Kampung Hungab, Penampang pada 7 September tahun lalu, sepatutnya membuka mata semua pihak termasuk Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan mengenai keperluan mendesak bagi Sabah untuk mewujudkan satu pusat panggilan kecemasan khusus untuk negeri ini tanpa perlu disambungkan ke Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Parti Warisan (Warisan), Datuk Loretto S Padua berkata pusat panggilan kecemasan khusus untuk Sabah dapat mengelakkan kekeliruan mengenai lokasi kejadian serta membantu mempercepatkan tindakan serta merta ketika berlakunya kecemasan.

“Malangnya, isu sama berulang lagi dalam insiden membabitkan Lew Kok Fai, 54, yang meninggal dunia akibat serangan jantung sehingga kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kolombong, 4 Mei lalu.

“Lew tidak menerima rawatan kecemasan lebih awal dan tidak dapat diselamatkan ekoran bantuan lewat tiba akibat maklum balas perlahan daripada Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 yang berpusat di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil kira apa yang berlaku, Loretto berkata Kerajaan Sabah seharusnya berasa malu dengan diri sendiri kerana tidak mampu mengurus tadbir perkara yang melibatkan hal kecemasan khususnya di dalam situasi genting di mana setiap saat amat penting untuk menyelamatkan nyawa.

“Panggilan kecemasan yang dibuat di setiap pelusuk Sabah yang seharusnya diambil tindakan dengan serta-merta terpaksa disambungkan terlebih dahulu ke Kuala Lumpur sebelum dihubungkan semula ke Sabah untuk tindakan susulan.

“Sebagai rakyat Sabah, saya sendiri tidak nampak dimanakah logiknya perkara ini dan apakah keperluannya?

“Ini amat memalukan terutama sekali kepada Kerajaan Sabah kerana tidak mampu menguruskan perkara seperti ini.

“Perlukah Kuala Lumpur mengawal dan menentukan setiap hal ehwal dan urusan di Sabah?

“Dimanakah nilai dan harga diri pemimpin-pemimpin Sabah? Sehinggakan pemimpin di dalam kerajaan Sabah sendiri (Parti Maju Sabah, SAPP) masih lagi meminta-minta,” tegasnya.

Loretto berkata sepatutnya sebagai sebuah kerajaan, perkara mustahak seperti ini mestilah terus dilaksanakan segera dan bukannya memohon atau harus meminta-minta.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sabah termasuklah parti-parti komponen kerajaan mestilah bersikap logik dan waras di dalam mengurus tadbir perkara seperti ini dan bukannya bermain politik semata-mata untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bersuara untuk rakyat Sabah.

Sebaliknya, mereka mesti faham dan tahu bahawa zaman untuk mereka bersuara sudah tamat memandangkan mereka kini adalah kerajaan.

“Adakan kita perlu menunggu satu lagi tragedi berlaku sebelum perkara ini diambil tindakan segera?,” soalnya.