Wujud Dalang Atur Kononnya Ahli Tindakan Warisan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Libaran yakin wujud dalang yang berperanan mengatur tindakan kononnya ahli Warisan keluar parti.

Menolak dakwaan segelintir ahli daripada bahagian itu turut keluar parti, Ketua Bahagiannya, Sahar Saka, berkata tindakan itu dihidu sejak beberapa minggu lalu.

Beliau sebaliknya menjelaskan kumpulan terbabit yang diketuai individu bernama, Jeffrey Pudang yang pada asalnya adalah ahli Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan kemudian menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), tidak pernah diterima menyertai parti itu.

“Pada pertengahan tahun lalu, beliau (Jeffrey) dan sebilangan kecil rakan-rakannya ingin menyertai Warisan, tapi disebabkan semangat setiakawan dengan Amanah, kami tidak dapat menerima mereka.

“Justeru, beliau (Jeffrey) tidak pernah menyertai Warisan termasuklah dakwaan cawangan yang kononnya dibawa keluar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sahar berkata, Warisan Bahagian Libaran juga sudah mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua dan memberi penjelasan kepada pucuk pimpinan berhubung perkara itu.

Beliau turut menyatakan pendirian akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan berjuang ke arah menjadikan Sabah lebih baik.

“Saya juga berharap ahli Warisan di bahagian Libaran tidak mudah terpedaya dengan tipu helah pembangkang,” katanya.

Pada Jumaat lalu, individu yang mengaku sebagai ketua cawangan parti Sejati 1, Ibrahim Yusof, mendakwa semua cawangan parti di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Airport dan Sibugal mengumumkan keluar parti.

Ia kononnya membabitkan lebih 1,000 ahli termasuk 11 ketua cawangan dari Parlimen Libaran yang mengumumkan keluar parti kerana kesal terhadap pemimpin parti dan menganggap tidak mempedulikan cawangan terbabit selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).