Wonderful Indonesia Festival 2019 Temui Orang Ramai

100
Emir (duduk dua dari kanan) mempelawa warga tempatan menyertai Wonderful Indonesia Festival 2019.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) akan menganjurkan Wonderful Indonesia Festival 2019 pada 15 hingga 17 November depan di Dewan Masyarakat Tawau.

Pelaksana Fungsi Penerangan Sosial dan Budaya KRI, Emir Faisal berkata, program tahunan itu adalah kali keempat dianjurkan sejak penganjuran pertamanya pada 2015.

“Sambutan memberangsangkan daripada warga tempatan terhadap festival ini menyebabkan KRI meneruskan penganjurannya tahun ini.

“Lebih menarik lagi, KRI turut mempelawa rakyat Malaysia menyertai beberapa pertandingan yang dianjurkan sepanjang program tersebut seperti nyanyian, tarian dan mewarna yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,150,” katanya dalam sesi Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Media Tawau, semalam.

Tambahnya, penganjuran festival tersebut bertujuan mewujudkan hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia-Indonesia termasuk membabitkan ekonomi, inovasi, pelancongan dan budaya.

“Ini termasuklah meningkatkan aktiviti perdagangan antara Indonesia dengan Tawau menerusi Selat Makasar.

“Beberapa aktiviti akan dilakukan termasuk pameran 35 perusahaan kecil dan sederhana dari Jawa Timur, Nunukan, Tarakan, Sulaweti Selatan dan Kalimantan Utara,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Emir, KRI berbesar hati mempelawa orang ramai khususnya penduduk Tawau dan daerah berhampiran untuk datang.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman facebook Wonderful Indonesia Konsulat RI Tawau.