Wirawati Warisan Edar 400 Bubur Lambuk Kepada Frontliners, Penduduk

Oleh TERTIA JACOB
BELURAN: Sebanyak 400 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada petugas barisan hadapan serta penduduk di sekitar daerah ini.

Ia membabitkan kakitangan Hospital Beluran, balai polis, balai bomba serta anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas dalam sekatan jalan raya.

Selain itu, sumbangan turut diagihkan kepada cawangan di Kampung Keniogan dan Pulau Tetabuan.

Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) Beluran, Norsabrina Japar, berkata sumbangan menerusi Program Sentuhan Kasih Wirawati itu adalah anjuran Wirawati Beluran dan Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk.

Katanya, ahli jawatankuasa Wirawati Beluran bertungkus lumus memasak bubur lambuk sebelum ia diedarkan.

“Sumbangan ini adalah untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan, selain sempena sambutan bulan Ramadan.

“Kami memohon maaf jika ada kekurangan dalam agihan sumbangan,” katanya.

Norsabrina turut melahirkan penghargaan kepada ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang serta jawatankuasa Wirawati Beluran yang terbabit secara langsung dalam program berkenaan.