Wirawati Warisan Desak Tangani Masalah Pengangguran Belia Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu ada dasar pandang kehadapan bagi memastikan masa depan anak muda terjamin dan tidak terus dibelenggu masalah ekonomi dan kekurangan peluang pekerjaan.

Bagi menjayakan dasar ini, sebuah sistem urus tadbir yang baik adalah keperluan utama bagi Malaysia.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan) Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, kadar pengangguran belia terburuk di Malaysia adalah di Sabah, dengan 190,000 pengangguran.

”Kegagalan untuk mengiktiraf kekuatan belia akan menjadi satu kehilangan modal insan dalam memajukan Malaysia yang moden,” katanya dalam siaran langsung di Facebook kelmarin.

Menurut beliau, apa yang dimahukan oleh generasi muda adalah sebuah negeri dan negara yang progresif, makmur dan maju.

“Keretakan dalam sistem yang ada di negara kita mutakhir ini akan membawa kepada kegagalan sistemik. Ini menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban pengurusan negara.

”Apapun, kita harus sedar bahawa nasib negara dan negeri ini terletak sepenuhnya di tangan rakyat,” tambahnya.

Joanna menegaskan keberkesanan tadbir urus yang baik banyak bergantung kepada keikhlasan kepimpinan politik dan pematuhan kepada norma dan peraturan sistem politik.

“Pencapaian tadbir urus yang baik mampu menjamin kestabilan politik dan pengurusan pentadbiran yang lebih efektif.

“Dalam masa yang sama, impak ke atas segala aspek kehidupan termasuk ekonomi dan sosial di negara kita adalah sangat merisaukan dengan keadaan politik yang tidak stabil,” katanya.