Wira Warisan Prihatin Dengan Masalah Air Di Beluran – Aslan

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
BELURAN: Isu kekurangan bekalan air di daerah ini membelenggu dan menjadi perbualan hangat masyarakat setempat dan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Prihatin dengan permasalahan itu, Ketua Wira Warisan (Parti Warisan Sabah) Bahagian Beluran Aslan Awang Damit (gambar) meminta pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi sejak awal bulan Disember ini.

Aslan berkata, Wira warisan amat tertarik dengan isu yang menjejaskan kehidupan masyarakat Beluran ini.

Katanya, sejak kekurangan bekalan air, catuan mula dijalankan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Situasi itu menyebabkan masyarakat sekitar terpaksa mencari kaedah lain untuk mendapatkan bekalan air untuk kegunaan seharian.

Menurutnya, situasi ketiadaan air ini lebih terasa di kawasan Hospital Beluran yang menempatkan ramai pesakit.

Beliau merasa amat gembira apabila mendapat tahu permasalahan air ini sudah berada dalam perhatian pengarah JANS. Tindakan segera telah diambil bagi menyelesaikan permasalahan kekurangan bekalan air di hospital ini.

Berdasarkan makluman JANS, masalah kekurangan bekalan air bertambah teruk apabila paip besar yang sudah usang telah pecah akibat tekanan air yang tinggi.

Aslan berkata, Wira Warisan Beluran juga sudah menghubungi Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat di Beluran ini. Setiausaha Sulit itu juga berjanji akan membantu sebanyak yang boleh bagi memastikan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

BERITA BERKAITAN: –

Paip Lama Perlu Diganti, Langkah Terbaik Atasi Masalah Air Di Beluran