Wira Penampang Buat Laporan Polis Berhubung Kenyataan Fitnah Di FB

4584
Laporan polis yang dibuat oleh Wira Warisan Penampang.

Oleh SHANE SHAH
PENAMPANG: Satu laporan polis dibuat berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan pemberian kewarganegaraan terhadap seorang lelaki yang dipercayai warga Pakistan.

Wira Penampang (Parti Warisan Sabah) membuat laporan polis di Balai Polis Penampang bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil terhadap pemilik akaun Facebook Hafiz Khan yang mengeluarkan kenyataan tidak berasas.

Hafiz Khan menerusi akaun Facebooknya menyatakan (sic) “Saya warga Pakistan Sabahan berbangga dengan perlantikan Ddk Safie sebagai Sabah CM.

“Kini perniagaan kami semakin bagus dan kami juga sudah menjadi warganegara…sudah memilik waris tanah daripada ibu-ibu kami.

Pemimpin dan ahli ahli Wira Warisan Penampang selepas membuat laporan polis pada Sabtu pagi.

“Sekarang harapan saya pada bangsa Suluk, Bajau, Filipina, Jawa, Bugis, Indonesia, Brunei dan Filipina supaya menakluk bangsa KDMR …………,” katanya dalam laman Facebook miliknya.

Dalam kenyataan Wira Penampang, mereka beranggapan kenyataan itu berbaur fitnah dan boleh mencetuskan huru-hara dalam perkauman, terutamanya dalam kalangan kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) dan Rungus.

“Saya Sonnie Hamdin (Naib Ketua Wira Penampang) dan George Tann Jr (Setiausaha Wira Penampang) selaku wakil Wira Penampang berharap kenyataan dikeluarkan dalam laman sosial perlu lebih berhati-hati agar tidak membangkitkan sesuatu yang akan mengancam keharmonian kaum dan agama.

“Kita juga perlu yakin dan percaya dengan Kerajaan Warisan Sabah baharu yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dengan bantuan Darell Leiking dan juga puncuk pimpinan yang lain,” katanya.

Beliau juga yakin pemimpin sekarang mampu membawa Sabah ke satu tahap yang boleh dibanggakan oleh masyarakat di negeri ini.