KOTA KINABALU: Dalam situasi sektor hartanah yang merudum akibat pandemik Covid-19, syarikat pemaju, Wecojaya Sdn. Bhd. (Wecojaya) tampil menyahut cabaran menyediakan rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 bagi memenuhi keperluan rakyat.
Bertempat di kawasan seluas 8.4 hektar di Alam Mesra, perumahan dikenali sebagai Residensi Bandar akan menawarkan sebanyak 4,000 unit rumah kos sederhana berkeluasan 850 kaki persegi setiap unit kepada para pembeli.
Majlis Pelancaran Projek Residensi Bandar itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) petang ini.
“Saya ingat ini merupakan pertama dalam jumlah yang begitu besar 4,000 walaupun dalam keadaan negara kita berhadapan dengan Covid-19 masih lagi pelabur dan juga pengusaha swasta yang yakin bahawa perkara ini dapat kita jayakan.
“Saya sedar dan tahu pembangunan hartanah di Kuala Lumpur bukan meningkat tetapi menurun, tetapi tidak bererti apabila harga hartanah itu menurun kita tidak harus membina rumah,” katanya.
Residensi Bandar yang mempunyai lima bilik dijangka mula dibina pada 2021 dan siap sepenuhnya lima tahun kemudian.
Pembinaannya melibatkan tiga fasa dan turut dilengkapi dengan 40 unit ruang komersial dan kemudahan-kemudahan lain.
“Jadi ini satu usaha yang begitu baik untuk membolehkan masyarakat di bawah pendapatan rendah untuk memiliki rumah dan dalam jangka masa panjang mereka ini tidak akan dibebankan dengan adanya rancangan seumpama ini
“Saya harap kita kena belajar cara kaedah sesetengah bandar raya di negara kita, didapati bahawa ada kelompok setinggan ada kelompok yang tidak mampu milik di situ membebankan rakyat,” katanya.