‘We Love, We Care’ Untuk China Kutip RM2 Juta

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Solidariti rakyat Sabah kepada China selepas negara itu diserang koronavirus yang bermula di Wuhan dibuktikan apabila sebanyak RM2 juta berjaya dikutip melalui tabung yang diwujudkan untuk membantu negara itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jumlah tersebut tidaklah sebesar mana jika dibandingkan penderitaan yang dihadapi China dan rakyatnya ketika ini dalam berdepan dengan koronavirus, namun ini adalah masanya untuk Sabah memberikan sokongan moral.

Beliau berkata, ketika China tidak dilanda masalah, Sabah menerima limpahan ekonomi daripada kemasukkan pelancong negara itu, justeru semasa dilanda kesusahan, Kerajaan Sabah akan berusaha memberikan sokongan sedaya mungkin.

“Kita merupakan di antara tempat yang selalu dikunjungi dan dibuat pelaburan dan pembangunan di Malaysia dan menyedari hakikat ini bila jiran kita, rakan kita berhadapan dengan masalah seumpama ini kita perlu bangun dan bangkit untuk bukan hanya memastikan sokongan, doa kita kepada mereka supaya bukan hanya masalah malapetaka koronavirus ini dapat dipulihkan dan kita dapat memperolehi satu vaksin yang boleh mengubati secepat yang mungkin.

“Kerana dalam keadaan seumpama ini kita perlu memberi sokongan di peringkat dunia dan masyarakat dunia perlu tampil ke depan untuk mempunyai bukan hanya nilai-nilai budaya yang perlu kita terapkan di kalangan kepimpinan masyarakat dunia yang ada dalam keadaan dunia yang berhadapan pelbagai masalah kita sedar bila ada peperangan contohnya kita simpati dengan mana negara yang berhadapan dengan masalah itu begitu juga keadaan di mana virus seumpama ini bukanlah kehendak negara China bukanlah kehendak masyarakat di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis ‘We Love, We Care’ Gabungan Persatuan China Sabah untuk mengutip dana bagi membantu China berdepan koronavirus di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide; pemimpin-pemimpin masyarakat Cina Sabah serta ahli-ahli perniagaan.

Tabung berkenaan pada asalnya hanya mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta, namun berjaya melepasi sasaran selepas rakyat Sabah menunjukkan keprihatinan kepada masalah yang dihadapi di China.

Sementara itu, Caide ketika berucap di majlis itu berkata, Kerajaan China yakin masalah yang berlaku sekarang hanyalah bersifat sementara dan tiba masanya nanti penyakit koronavirus pasti dapat diatasi.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan sebaik sahaja masalah itu pulih, lebih ramai rakyat China akan datang ke Sabah kerana negeri ini merupakan antara destinasi pelancongan pilihan rakyatnya setiap kali mahu bercuti.

“Epidemik ini bukan sahaja memberikan cabaran kepada pembangunan ekonomi dan sosial China tetapi sangat menjejaskan industri di Sabah, banyak operator pelancongan berdepan kesukaran tetapi mereka tidak mengadu, tidak menyalahkan sesiapa, mereka masih menyokong China dan Wuhan.

“Selepas epidemik ini diatasi, hubungan China-Sabah akan terus kukuh, Sabah sudah tentu boleh menjangka lebih ramai pelancong dari China dan kerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.