Wawasan Kemakmuran Diharap Tingkat Kemudahan Di Sabah – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Kerajaan Sabah meletak harapan tinggi agar inisitif Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri pada 5 Oktober ini akan mengambil kira keperluan penduduk di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan di Sabah termasuk menjayakan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang merupakan kerangka penting dalam memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata, Sabah memerlukan keupayaan kewangan yang lebih banyak dapat membangunkan prasarana yang diperlukan terutama masyarakat di kawasan pedalaman.

Katanya, pembinaan sebuah negara sangat kompleks namun, usaha menyentuh hati rakyat perlu dilakukan tanpa mengambil kira latar belakang bangsa dan agama.

“Kita mahu kemudahan asas di Sabah dapat dipertingkatkan seperti kemudahan bekalan air, jalan raya, elektrik, sekolah dan hospital. Ini antara kerangka penting yang bukan hanya perlu diambil kira dalam program Wawasan Kemakmuran Bersama itu tetapi juga, dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya ketika diminta mengulas mengenai Inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama yang dijangka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober depan.

Mohd Shafie juga mahu inisaitif sebegitu dapat membantu masyarakat di kawasan luar bandar keluar dari kepompong kemiskinan.

Pada 14 September lalu, Tun Mahathir mengumumkan akan melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 dalam usaha merapatkan jurang pendapatan antara negeri dan golongan yang kaya dan miskin.

Usaha itu diambil bagi memastikan rakyat mendapat bahagian yang adil mengikut kategori masing-masing.