Warisan Yakin Anwar Ibrahim Dapat Sokongan Undi Percaya

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen semasa pembentangan Usul undi percaya pada 19 Disember ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sejak di peringkat awal parti Warisan sentiasa memberi sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri serta Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) telah memperoleh jumlah yang besar iaitu 82 kerusi dan itu bermakna mereka mendapat mandat rakyat.

“Saya ingat lebih sejuta orang pengundi telah memilih PH. Malah, bila saya lihat gabungan yang ada iaitu dengan Barisan Nasional (BN), itu satu langkah yang cukup baik.

“Saya yakin Anwar akan dapat mandat (sokongan) yang mencukupi untuk membolehkan beliau terus memimpin negara ini,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Michael Newbill di kediamannya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Mengulas lanjut katanya, ketika ini pergolakan politik yang berlaku di Sabah banyak dipengaruhi oleh keadaan politik di peringkat persekutuan.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, permasalahan di peringkat persekutuan perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana di situ kemuncak dan nadinya.

Sejak dulu lagi, pergolakan di Sabah banyak bergantung dengan keadaan di kerajaan Pusat, begitu juga sekarang.

“Di peringkat negeri, kita masih lagi sebuah parti yang agak besar dan rumah kita telah pun siap. Rumah mereka belum siap dan saya tidak mahu katakan sesuatu mengenainya pasal saya tidak tahu kemana arah tuju mereka.

“Keadaan itu melahirkan ketidakpastian dan itu membimbangkan kita. Saya sudah maklumkan daripada awal, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya beri mandat kepada parti yang terbesar dan parti terbesar di negara ini adalah PH.

“Maka, parti yang menjadi pemerintah di negara ini adalah PH kerana mereka memperoleh 82 kerusi, mereka mendapat mandat rakyat yang terbesar.

“Begitu juga kita dahulu di Sabah, sepatutnya kita yang terbesar. Seharusnya untuk melahirkan suasana yang agak stabil, tidak berlaku beli-membeli (wakil rakyat).

“Orang saya pun asyik kena beli walaupun jumlah kita yang besar. Keadaan sebegini tidak akan melahirkan kestabilan,” katanya.

Menurut Mohd Shafie, jika ingin kerjasama perlu ada kejelasan dengan siapa kerjasama itu mahu dibentuk.

“Jangan kerjasama, tapi you (kamu) ambil orang saya baru kita bekerjasama, tak bolehlah jadi seumpama itu,” katanya.