Warisan Tidak Terikat Dengan PH Dalam Soal Hadkan Lantikan Menteri

SHAFIE APDAL

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah akan melihat keperluan untuk menghadkan pelantikan jawatan menteri di negeri ini kepada dua penggal.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu akan melihat keperluan untuk mempersetujui atau tidak cadangan yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) itu.

“Kita akan melihat sama ada terdapat keperluan untuk kita berbuat begitu kerana ia tidak termasuk dalam enakmen. Kita perlu melihat dari sudut undang-undang sama ada kita setuju dengan cadangan dikemukakan Pakatan Harapan itu.

“Biarpun kita bekerjasama erat dengan PH tapi kita (Warisan) bukan sebahagian daripada PH. Warisan bergerak sendirian tapi kita akan tengok keperluan itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan dikemukakan Perdana Menteri untuk menghadkan pelantikan seseorang menteri kepada dua penggal sahaja.

Shafie berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) kepadanya, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) di sini pada Selasa.

Kemudian mengenai penolakan lima petisyen pilihan raya yang difailkan calon Warisan, Shafie berkata, perkara itu hanya melibatkan masalah teknikal dalam penghantaran borang.

Beliau telah meminta peguam untuk melihat penolakan permohonan petisyen berkenaan.

“Ini melibatkan masalah teknikal seperti bila diminta menghantar borang, mereka menghantar dua borang dan bukannya tiga seperti yang diperlukan. Oleh itu, saya telah meminta peguam, ada 30 kesemuanya untuk melihat perkara ini.

“Perkara sebegini bukan hanya berlaku di Sabah, ia turut berlaku di Semenanjung Malaysia. Malah permohonan petisyen semasa zaman Bersatu juga pernah ditolak. Maka, kita serahkan segala keputusan kepada mahkamah,” ujarnya.

Berkenaan umur minimum untuk berkahwin, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengikut apa yang diputuskan diperingkat Kerajaan Persekutuan yang menghadkan umur minimum berkahwin pada usia 18 tahun.

Bagaimanapun jika terdapat kes tertentu dimana memerlukan orang tertentu berkahwin lebih awal dari umur minimum itu, perkara itu boleh dirujuk kepada Mahkamah Syariah.