WARISAN Tidak Pernah Keluar Kenyataan Bersama PAS – Loretto

KOTA KINABALU: Parti WARISAN menyangkal isi kandungan kenyataan yang tular kononnya dikeluarkan bersama oleh WARISAN dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua Jr menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang merupakan fitnah dan turut memalsukan tandatangannya sebagai mewakili parti.

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media PAS bertarikh 11 Jun 2021 tersebut yang mana saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak WARISAN mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama PAS untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri. WARISAN tidak pernah terlibat dengan Kenyataan Media ini.

“Perbuatan seperti ini adalah tindakan orang-orang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tandatangan saya.

“Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini,” katanya.