Warisan Tidak Berhasrat Sertai Gerakan Tanah Air

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana gabungan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Wairsan tidak akan menyertai gabungan dengan mana-mana parti di negara ini pada PRU-15.

“Gabungan kita dengan rakyat, kerjasama kita dengan rakyat di negara ini kerana kita mahu menyediakan pilihan kepada rakyat.

“Jika keadaan tidak membolehkan maka, kita akan mengadakan kerjasama pintar contohnya kerjasama dengan Sarawak. Ia tidak bercanggah dengan Undang-undang Anti Lompat Parti,” katanya dalam siaran langsung ‘Let’s talk’ dalam laman Facebook semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan tentang kemungkinan Warisan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, jika ada keperluan kerjasama di Sabah, seperti dinyatakan sebelum ini Warisan sedia bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Mengenai suara Sabah yang perlu didengar oleh kerajaan persekutuan, Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah dan Sarawak perlu berdiri teguh dan mempunyai pendirian bersama agar suara Sabah dan Sarawak lebih didengari.

Tapi malangnya di Sabah, pimpinan negeri ini diterajui oleh Ketua Menteri yang datang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mana, ketuanya berada di Semenanjung Malaysia.

Maka, jika berlaku percanggahan pendapat yang tidak selari dengan pemimpin pusat maka, banyak masalah akan timbul.

“Malah, saya sendiri sudah mengalaminya semasa dalam UMNO. Selaku Naib Presiden UMNO sekali pun tidak mudah untuk buat perubahan kerana apabila kita tegur maka, tindakan terhadap kita akan diambil,” katanya.

Ahi Parlimen Semporna itu berkata, kerjasama rapat antara negeri dan kerajaan persekutuan juga telah dilakukan semasa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.