Warisan Teruskan Misi Bantu Golongan Terjejas Pandemik COVID-19

KENINGAU: Misi bantuan bakul makanan Parti Warisan Sabah (Warisan) diteruskan di beberapa kampung sekitar Liawan dan Sook.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam Facebook rasminya memaklumkan bantuan yang diberikan itu bagi membantu meringankan bebanan golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Rata-rata penduduk di kawasan ini semuanya bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap dan sangat sedikit yang bekerja makan gaji.

“Mungkin apa yang diberikan tidak banyak tetapi mencukupi untuk keluarga bertahan beberapa hari,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mohd Shafie berkata, pandemik Covid-19 ini telah meragut banyak nyawa sejak ia mula merebak. Jika dilihat ada anak-anak yang telah kehilangan ibu dan bapa, suami isteri kehilangan pasangan masing-masing, ibu bapa kehilangan anak-anak.

Malah, beliau sendiri kehilangan rakan-rakan dan juga ahli keluarga.

“Doa saya dan pimpinan parti Warisan agar kita diberikan ketabahan dan kekuatan untuk terus menyumbang bakti pada rakyat dan dijauhi dari dijangkiti wabak Covid-19 ini,” ujarnya.