Parti Warisan Terus Mantapkan Kedudukan Dengan Lebih 200,000 Ahli

208

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) terus memperkukuhkan kedudukannya dengan penyertaan keahlian yang kini mencecah lebih 200,000 orang di seluruh Sabah.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kepimpinan parti sedang membincangkan hala tuju serta usaha-usaha memperkasakan parti termasuk menambah keanggotaan parti.

”Dalam mesyuarat tadi dimaklumkan tentang kelulusan keahlian lebih 200,000 orang termasuk ahli baharu yang akan dikeluarkan kad keahlian. Keanggotaan yang ramai ini diharap akan dapat memastikan kekuatan parti dapat dimantapkan.

”Bagaimanapun, keanggotaan ahli akan diteliti secara mendalam kerana kita bukan hanya melihat kepada jumlah sebaliknya kepada nilai seseorang ahli. Itu yang menjadi keutamaan pada kita supaya mereka yang menjadi ahli adalah mereka yang betul-betul memikirkan tentang perjuangan parti dan bukannya sebab sesuatu perkara.

”Kita mahukan sebuah kerajaan yang mampan. Kemampanan dalam parti dapat dijayakan jika perjuangan parti menjadi keutamaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Warisan bersama Ketua-Ketua Bahagian, di Ibu Pejabat Warisan, di sini pada Ahad.

Menurutnya, kad keahlian Warisan itu akan dilancarkan dan diberikan kepada semua ahli-ahli yang telah diluluskan penyertaan mereka.

Parti Warisan kini mempunyai 26 bahagian dengan lebih 700 cawangan yang telah diluluskan.

Dalam mesyuarat itu, kepimpinan parti turut melantik sembilan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) termasuk dua menteri dan seorang pembantu menteri.

AMT baharu yang dilantik termasuklah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob selaku Ketua Penerangan; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali sebagai Setiausaha Kerja.

Turut dilantik adalah Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan Datuk Rozman Isli, Datuk Douglas Lind, Datuk Michael Tambakau, Dr Richard Gunting, Paul Voon dan Dr Julian Sidin.

Jawatan AMT yang dikekalkan adalah Pengerusi Tetap Datuk VK Liew, Timbalan Pengerusi Tetap Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah Taha, Setiausaha Agung Loretto S. Padua, Bendahari Terrence Siambun.

Bagi jawatan Ketua Wira dan Wirawati pula kekal disandang masing-masing oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman dan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis. Manakala, Ketua Wanita yang telah dipilih adalah Aminah @ Siti Aminah Jabarkhan.