Warisan Teguh Pendirian Tidak Tandatangan CSA Seperti PH

MA’MUN SULAIMAN

KOTA KINABALU: Tidak dilibatkan dalam siri perundangan bersama Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) memutuskan untuk tidak menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ma’mun Sulaiman berkata, perkara itu ditegaskan sendiri oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Ma’mun berkata, Presiden parti jelas menyatakan Warisan menolak CSA yang direka oleh PH kerana tidak mengetahui kandungan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai.

“Kita tidak tahu adakah permintaan atau tuntutan untuk orang Sabah diambil kira dalam perjanjian CSA tersebut.

“Malah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga tidak diberi ruang untuk tandatangan dengan alasan penyertaan UPKO belum diterima secara rasmi.

“Kita tidak melihat usaha kerajaan dan PH mahu membantu menunaikan tuntutan Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kedua-dua pihak seolah-olah berpakar menafikan tuntutan yang diperjuangkan pemimpin Sabah sejak daripada dahulu,” katanya dalam satu kenaytaan.

Menurut Ma’mun, Warisan juga tidak mahu mengambil risiko untuk kehilangan hak semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan persekutun. Hak itu akan terhapus sekiranyg CSA ditandatangani.

“Kita yakin dengan keputusan tegas kepimpinan Warisan agar kita tidak lari daripada perjuangan asal iaitu ingin mengembalikan hak-hak rakyat Sabah,” ujarnya.

Beliau berkata, segala agenda kerajaan yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat akan disokong dan kritikan pula akan diberi sekiranya segala pelaksaan dasar dan peruntukan pembangunan demi kesejahteraan rakyat tidak dilaksana dengan sebaiknya.

Ma’mun berkata demikian ketika mengulas mengenai MoU yang ditandatangi antara PH dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

MoU itu menuntut kerjasama dwi-partisan yang mantap bagi menjulang semangat keluarga Malaysia dan selaras dengan titak Yang di-Pertuan Agong.

Perjanjian itu merangkumi aspek seperti pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

-TAMAT-