Warisan Tegas Tidak Benarkan Warga Asing Masuk Secara Haram

Oleh NORA AHMAD
PAPAR: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menegaskan warga asing yang masuk ke Sabah harus melalui laluan yang sah dan bukannya melalui cara haram.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, sekarang ini dalam keadaan berhadapan dengan wabak Koronavirus (Covid-19) tidak digalakkan orang luar negara termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) masuk ke negeri ini.

“Kita kerajaan WARISAN tidak setuju dengan perkara ini, yang mahu masuk ke Sabah ini mesti ada pasport. Kita tidak benarkan mereka masuk secara haram.

“Jika itu dibenarkan, maknanya ada orang lain yang memasukkan, bukan kerajaan Sabah kerana kita bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk menghalang ini berlaku,” katanya pada sidang media di Pejabat Exco Penerangan, Pusat Komersial Palm Square, Kinarut, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tuduhan pihak tertentu mengenai kemasukan Pati ada kaitan dengan WARISAN.

Sehubungan itu, beliau berkata lagi tugas untuk menghalang kemasukan Pati adalah pasukan keselamatan yang menjaga sempadan.

“Kalau ada kenyataan berlaku kemasukan, itu tugas keselamatan untuk menghalang mereka, kalau Warisan Plus, kita tiada niat langsung membenarkan kemasukan sesiapa,” katanya.

Terdahulu, ketika ditanya berhubung dakwaan terdapat pengundi yang mempunyai dua kerakyatan, beliau berkata tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

“Kita tiada rekod, yang tahu ada dua kerakyatan ini adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Jabatan Imigresen dan ia adalah dibawah kawalan kerajaan pusat.

“Kalau kata Warisan memasukkan, saya menyangkal, saya tidak setuju yang itu,” katanya.