Warisan Tawau Nafi 150 Ahli Keluar Parti

TAWAU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan 150 ahli Warisan di Kampung Serudong keluar parti bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Bahagian Warisan Tawau, Abdul Salip Ejal berkata, dakwaan yang disebarkan oleh cybertrooper GRS di media sosial itu tidak benar.

Abdul Salip berkata, Warisan Bahagian Tawau tidak pernah menerima sebarang permohonan keahlian mahupun pendaftaran cawangan daripada George Injun yang dikatakan mengetuai ahli Warisan yang keluar daripada parti.

“Warisan Bahagian Tawau banyak menerima permohonan keahlian dan pendaftaran cawangan dari Kampung Serudong namun tiada satu pun daripada George Injun. Perkara ini juga telah kita semak di data senarai keahlian dan cawangan.

“George Injun sememangnya bukan ahli Warisan. Mereka ini adalah ahli-ahli UMNO yang terlibat dalam jelajah kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mereka ini telah ditarik untuk masuk bernaung di bawah BERSATU.

Dengan itu, beliau berharap tiada mana-mana pihak yang cuba menabur fitnah ke atas ahli-ahli Warisan Tawau yang kononnya berpaling tadah dan bernaung di bawah BERSATU.