Warisan Sokong Tun Mahathir Kekal Perdana Menteri

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mahu kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dikekalkan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, apa juga pergolakan politik yang berlaku di peringkat persekutuan, pemimpin Sabah akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika mengulas mengenai perubahan politik yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan pada masa ini.

Dalam masa sama, Mohd Shafie memberi jaminan akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan.

Katanya, Sabah tidak boleh bekerja secara sendirian kerana berdasarkan keadaan semasa, kawasan luar bandar di Sabah masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan.

“Kita sentiasa konsisten untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan tidak kita siapa yang menjadi kerajaan.

“Pakatan Harapan juga sudah membuat keputusan bahawa mereka menyokong Tun Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri dan mentadbir negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Pegawai-pegawai daerah negeri Sabah ke-24, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Sabah akan terus mentadbir negeri ini dengan baik kerana mereka masih mempunyai jumlah keahlian yang mencukupi.

Katanya, Warisan bukan berada dalam Pakatan Harapan (PH) sebaliknya, mereka hanya bekerjasama dengan PH.

“Apa yang penting sekarang adalah kita kena fokus untuk terus mentadbir negeri.

“Apa yang berlaku di sana memang kita ambil perhatian. Tapi, seperti saya katakan tadi, kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Ditanya adakah Warisan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kekal dengan status quo sekiranya berlaku perubahan di peringkat persekutuan, beliau berkata, beliau akan melihat perkara itu.

“Walau apa pun, Sabah akan terus menguruskan negeri ini terlebih dahulu sebelum sibuk mengurus hal lain,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew ketika diminta mengulas mengenai perubahan politik yang berlaku, beliau berkata, beliau akan tunggu dan lihat.