Warisan Sepanggar Hulur Bantuan Kepada Penghuni Kuarters DBKK

Ahmad Jais menyerahkan bantuan barangan keperluan harian kepada salah seorang penerima.

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Seramai 72 keluarga termasuk kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kuarters DBKK Taman Kurnia Jaya menerima sumbangan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan berupa beras, gula, tepung, makanan dalam tin dan pelbagai lagi diserahkan Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Sepanggar yang diwakili Timbalan Ketuanya, Ahmad Jais.

AHMAD JAIS

Ahmad berkata, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Warisan Sepanggar diterajui Ketuanya, Datuk Mohd. Azis Jamman dalam memastikan semua penduduk di kawasan Sepanggar yang memerlukan pertolongan mendapat pembelaan.

“Kami di peringkat bahagian di bawah pimpinan Mohd. Azis berterima kasih di mana bantuan ini kita salurkan kepada masyarakat di Sepanggar.

“Semua sedia maklum yang berhormat mengorbankan sebahagian gaji beliau sebagai Ahli Parlimen khususnya untuk rakyat di Sepanggar, jadi ini menunjukkan keprihatinan kita kepada rakyat dan juga Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan itu petang ini.

Penghuni Kuarters DBKK Taman Kurnia Jaya mengangkat barangan keperluan harian yang diterima hasil sumbangan Parti Warisan Sabah Bahagian Sepanggar.

Ahmad berkata, semua 72 unit kediaman di situ menerima bantuan tersebut secara sama rata yang diyakini mampu menampung keperluan makanan semua keluarga untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

ZABIDAH KASSIM

Ketua blok di kuarters tersebut, Zabidah Kassim turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Warisan Sepanggar kerana menyampaikan bantuan tersebut tanpa pilih kasih.

“Kami di sini amat bersyukur ini pertama kali kami dapat bantuan seumpama ini, selama ini kami tidak mendapat bantuan ini adalah bantuan yang tiada pilih kasih dan kami amat menghargai kepada kerajaan Parti Warisan Sabah yang terbaik.

“Barang yang kami peroleh minyak masak, barang dapur, gula, milo dan beras itu mencukupi untuk seminggu,” katanya.

SABRI TAWAKKAL

Seorang penerima, Sabri Tawakkal, 60, berkata, bantuan bekalan makanan yang diberikan amat melegakan penduduk di situ yang mengalami kesukaran untuk membeli barangan dapur kerana patuh kepada PKP.

“Terima kasih kepada kerajaan membantu orang-orang termiskin seperti kami seluruh orang Islam dan bukan Islam terima kasih.

“Kadang-kadang susah juga kita takut keluar dengan perintah yang diarahkan kerajaan sekarang ada bantuan terima kasihlah kepada kerajaan,” katanya.