Warisan Semakin Diterima di Semenanjung

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) semakin mendapat sambutan di Semenanjung dengan kemasukan lebih ramai bekas pemimpin lama.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, bekas-bekas ahli UMNO, MIC, MCA dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai Warisan.

“Sepatutnya minggu ini saya berada di Johor bagi menerima kemasukan bekas ahli-ahli parti berkenaan tapi tunggulah kerana saya tidak mahu cakap banyak.

“Kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan kehidupan perjalanan negara ini. Banyak rakyat bersuara, kebencian mereka cukup tebal terhadap ahli-ahli politik.

“Bagaimanapun, perubahan tidak akan berlaku kalau kita tunggu ahli politik mengubahnya. Kita kena pastikan rakyat yang mengubah keadaan di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony keluar parti, Mohd Shafie berkata, tindakan itu tidak akan menjejaskan kedudukan parti di Sabah.

Sokongan di peringkat akar umbi terhadap parti tidak goyah. Malah, sudah menjadi lumrah politik untuk berhadapan dengan pelbagai perangai. Maka, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap keluar adalah haknya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan terhadap Peter akan diserahkan kepada pihak berwajib kerana itu bukan kuasanya untuk menentukan.

“Dia sudah keluar, tindakan apa harus diambil. Saya simpati dengan beliau (Peter), saya faham keadaan dan tekanan yang dihadapi.

“Bukan saya tidak faham dan tidak tahu dunia politik kerana saya pun dahulu (ditekan) begitu juga, ditahan dan dikecam,” katanya.