Warisan Semakin Diterima Di Semenanjung Malaysia

KOTA KINABALU: Kejayaan Parti Warisan melebarkan sayap parti ke Semenanjung Malaysia dan terbaru Kedah memberi petanda positif bahawa parti berbilang kaum itu semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Walaupun PAS begitu kuat di Kedah namun, penerimaan masyarakat terhadap Warisan amat baik.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, langkah melebarkan sayap ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia membuktikan masyarakat meletak kepercayaan kepada Warisan untuk memperjuangkan suara mereka tanpa mengambil kira bangsa dan agama.

Beliau berkata, parti nasional berasaskan kaum tidak akan bertahan lama susulan langkah Warisan melebarkan sayap ke seluruh negara.

Katanya, mereka yang meragui keupayaan dan perjuangan Warisan sebelum ini harus mempertimbangkan semula keraguan itu dan memberi perhatian serius terhadap Warisan.

“Kehadiran Warisan sebagai parti berbilang kaum, politik yang menyentuh tentang bangsa dan agama tidak lagi relevan. Kita seharusnya bercakap tentang usaha memajukan Malaysia tanpa mengira bangsa.

“Parti Warisan merupakan parti yang akan menyatupadukan semua rakyat di negara ini sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun mahupun Iban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Junz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu berkata, sejak awal penubuhannya pada 2016, aspirasi Warisan adalah untuk mengembalikan semula makna sebenar Malaysia.

Biarpun perjuangan itu bersendirian dan agak mencabar namun, perjuangan untuk mewujudkan negara yang lebih baik perlu bermula daripada sekarang.

“Marilah kita sama-sama bergabung tenaga membantu Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal merealisasikan impian untuk melihat Malaysia yang lebih inklusif.

“Ia bukan perjuangan Warisan semata-mata, ini tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk membina masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.