Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau telah menjelaskan kepada ahli-ahli parti bahawa Warisan mahu menjadi kerajaan.
Beliau berkata, memandangkan mandat rakyat telah diberi maka, sesiapa pun memerlukan sokongan bagi membentuk kerajaan maka, mereka akan pertimbangkan sekiranya ia mampu membawa kestabilan politik dan ekonomi.
“Sejak semalam saya terima panggilan telefon dan pagi ini pun sama. Namun, apa yang penting seperti saya nyatakan di peringkat awal bahawa walaupun jumlah kita agak kecil namun, ia boleh menambah kepada kestabilan politik di negara ini.
“Penting kepada kita, rakyat sudah putuskan bahawa mereka telah mengundi wakil rakyat yang mereka nakkan.
“Bagi kita, kepentingan wilayah Sabah dan kestabilan politik negara sentiasa menjadi keutamaan sebab banyak masalah ekonomi yang perlu diatasi dalam jangka masa lima tahun ini. Kita tidak boleh membuang masa memikirkan pergolakan politik yang ada,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, Warisan kena mengambil pendekatan yang fragmatik dan realistik dalam berhadapan situasi politik hari ini demi kestabilan politik dan kelangsungan parti.
Jelasnya, beliau juga kena mengambil kira kehendak rakyat Sabah.
Menurut beliau, Warisan belum memutuskan untuk memilih antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana keutamaan adalah kehendak rakyat Sabah.
“Saya tidak boleh abaikan suara rakyat yang mengundi kita menjadi wakil rakyat. Namun, di peringkat negeri, kita masih kekal mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ramai di Sabah termasuk DUN Bugaya yang baru dimenangi,” katanya.