Warisan Putatan Edar 1,500 Pakej Barangan Keperluan Asas

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU :  Sebanyak 1,500 pakej bantuan barangan keperluan asas disalurkan kepada golongan yang terjejas di kawasan Putatan.

Semua bantuan itu disampaikan Ketua Warisan Bahagian Putatan, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.

Awang berkata, penerima bantuan adalah golongan yang sedang menjalani kuarantin seperti pesakit Covid-19 dan golongan yang disuspek Covid-19 serta pekerja yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ketua menteri kerana meluluskan peruntukan untuk membantu mangsa mangsa Covid-19  sama ada yang dijangkiti, dikuarantin mahupun rakyat biasa yang terhalang daripada melakukan perniagaan kecil pada setiap hari.

“Kita ada menyediakan 1,500 pakej bantuan seperti beras, minyak masak, gula, garam, sepapan telur (30 biji telur), Maggi dan dua kilogram ikan kepada penerima,”katanya.

Tambahnya, berdasarkan senarai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cawangan Putatan-Penampang, seramai 245 orang yang sedang menjalani perintah kuarantin dan golongan tersebut merupakan golongan sasaran utama yang akan menerima bantuan tersebut.

Katanya, sasaran seterusnya melibatkan golongan peniaga kecil dan pihaknya telah mengenal pasti seramai 33 orang peniaga kuih muih di sekitar Putatan untuk menerima bantuan tersebut.

Setakat ini, Putatan merekodkan sebanyak empat kes positif jangkitan Covid-19.

“Kepada yang kena kuarantin ini harus bersabar kerana kalau kita tidak ada disiplin, sesiapa sahaja yang dekat dengan kita akan dijangkiti dengan mudah.

“Jadi kita sebagai orang yang sudah matang, berumur adalah menjadi tanggungjawab kita  untuk menjaga keluarga kita khususnya anak-anak dan cucu-cucu kita,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk menggunakan topeng muka, cecair pembasmi kuman dan mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.