Warisan Putatan Buka 40 Cawangan Baharu

678
Sebahagian ahli Warisan Cawangan Kampung Kepayan 2.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
PUTATAN: Sokongan rakyat terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) Putatan semakin bertambah dengan pembukaan sekurang-kurangnya 40 cawangan baharu dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai berkata, pembukaan cawangan baharu itu akan dapat memperkukuhkan lagi parti sebagai tempat untuk rakyat mengadu nasib dan memohon bantuan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.

“Selepas ini lebih banyak lagi cawangan baharu akan dibuka di seluruh Putatan kerana rakyat percaya kepada kami untuk memimpin mereka.

“Sokongan itu telah ditunjukkan sejak pilihan raya umum lalu walaupun kami tidak mempunyai wang ringgit untuk berkempen tetapi akhirnya Warisan telah menang di sini,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Uda Sulai bergambar bersama ahli jawatankuasa penaja Warisan Cawangan Kampung Kepayan 2.

Terdahulu, beliau yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merasmikan mesyuarat dan pembukaan Warisan Cawangan Kampung Kepayan 2 di sini.

Yang turut hadir, ketua penaja cawangan itu, Pangeran Mohd. Sharif.

Berucap dalam majlis itu, Uda berkata, pemimpin yang dilantik mengetuai setiap cawangan baharu perlu bekerja keras menarik sokongan rakyat dan menyelesaikan masalah mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijangka membuka cawangan di Putatan, Uda berkata, Warisan tidak akan tergugat sama sekali malah kerja-kerja parti akan diteruskan.

“Kalau Bersatu dibuka, kita tahu siapa mereka dan rakyat juga tahu jadi itu hak mereka kerana Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pun sudah cakap kita tidak boleh tahan mereka kerana ini negara demokrasi.

“Sebagai kerajaan Warisan perlu jalankan amanah yang diberi rakyat dan bagi mereka yang mahu menyertai parti baharu itu, kami serahkan sepenuhnya kepada Presiden bagaimana parti itu perlu lakukan untuk turut menyokong kerajaan,” tambahnya.