Warisan Punya Kelebihan Lebar Sayap Parti Ke Semenanjung

PAPAR: Langkah Parti Warisan (Warisan) mengembangkan sayap parti ke Semenanjung mendatangkan banyak manfaat untuk mengukuhkan kedudukan parti.

Ketua Bahagian Warisan Papar, Ahmad Hassan berkata, tiada salahnya Warisan melebarkan sayap parti bagi membolehkan suara Sabah terus didengar di Parlimen.

“Kalau kita hanya dapat lapan kerusi sahaja, suara kita tidak akan didengari jadi, kita perlu perkuatkan kedudukan parti supaya kita boleh bercakap dan mengajukan pelbagai masalah yang dihadapi negeri ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, jika orang Kuala Lumpur boleh datang sini untuk berbahagi 25 kerusi Parlimen di Sabah maka, apa salahnya Warisan ikut ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bahagian kerusi.

“Jadi saya merayu jangan sensasikan bahawa pengembangan parti ke Semenanjung tidak akan mendatangkan manfaat. Sebetulnya banyak manfaat kita dapat.

“Misalnya, kalau di sini dapat 20 atau 15 kerusi dan di sana kita peroleh 10 kerusi, sedangkan di Sabah hanya ada 25 kerusi, ini menunjukkan sama ada kita ‘king maker’ atau sebaliknya.

“Itu sebabnya kenapa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ingin kembangkan sayap parti ke Semenanjung,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Warisan berjaya memperoleh sembilan kerusi Parlimen sebelum satu kerusi dikosongkan selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober 2020.

Sementara itu, tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi keluar parti dan beralih kepada Parti Pribumi Beratu Malaysia (Bersatu) membuatkan Warisan kini memiliki tujuh kerusi.

Ends.