Warisan Plus Tetap Pilihan Terbaik – PKR Sabah

KOTA KINABALU: Selepas seminggu berkempen, Warisan Plus masih kekal sebagai pilihan yang lebih baik untuk rakyat Sabah.

Menerusi kenyataan bersama, calon-calon PKR, mereka memberikan tiga sebab utama rakyat harus memilih Warisan Plus.

Pertama, kesepakatan dalam memilih Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Adpal sebagai calon tunggal Ketua Menteri memberi pilihan yang jelas untuk rakyat Sabah.

Gagasan Rakyat Sabah (GRS) masih celaru tentang calon Ketua Menteri mereka, adakah Hajiji Mohd Noor atau Bung Mokhtar?

Kedua, Warisan Plus menghormati autonomi kuasa rakyat Sabah. Pemilihan Datuk Seri Panglima Shafie Adpal dibuat oleh rakyat dan pemimpin Sabah.

Manakala pengumuman Hajiji sebagai calon Ketua Menteri dipilih oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Adakah rakyat Sabah dilibatkan dalam rundingan sebelum pengumuman dibuat? Siapakah yang menentukan calon Ketua Menteri Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN)-Parti Bersatu Sabah (PBS), Putrajaya atau rakyat Sabah?

Ketiga, Warisan Plus telah menunjukkan perpaduan yang kukuh.

Warisan Plus bertanding di kesemua 73 kerusi tanpa pertembungan sesama sendiri. Kecelaruan GRS terbukti dengan pertembungan sekutu di 17 kerusi.

Rakyat Sabah mengharapkan kestabilan politik dan kerajaan yang mandat kukuh supaya kerajaan negeri boleh fokus kepada pembangunan ekonomi dan pekerjaan, memerangi Covid-19 dan memajukan sektor perlancongan, pertanian dan ekonomi luar bandar.

Ini akan memastikan Sabah berada di landasan yang betul dan memacukan pembangunan negeri semula. We want to make Sabah Great Again!

Kesepakatan politik ditunjukkan Warisan Plus  memudahkan rakyat membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Kenyataan itu dibuat Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew (Api-Api) bersama calon lain iaitu Mustapha bin Sakmud (Tempasuk); Peto Galim (Inanam); Abdul Rahman Yakub (Klias); Raymond Ahuar (Sook); Alijus Sipil (Tamparuli); Sazalye Donol Abdullah (Matunggong).