Warisan Pertikai Prinsip Kenny Chua

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Wirawati Warisan Penampang mengkritik Kenny Chua yang dilihat begitu hipokrit mempertahankan diri setelah maruahnya tercalar kerana tidak punya pendirian.

Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Carol Malawai berkata, jika benar Kenny punya prinsip seperti didakwa, dia sepatutnya sudah meletak jawatan sebagai pembantu menteri sejak dulu lagi dan bukan selepas 26 bulan kerajaan Warisan dibentuk.

“Kenny katakan dia tidak setuju dengan beberapa isu berkaitan pentadbiran Warisan semasa beliau menjadi pembantu menteri jadi, kenapa sepanjang tempoh itu beliau tidak katakan apa-apa atau bangkitkannya selaku anggota jemaah Kabinet dalam Kementerian Kewangan.

”Dia sepatutnya meletak jawatan daripada semua jawatan yang dipegang dalam Kabinet dan PKR jika benar dia melihat masalah yang berlaku yang dikatakan bertentangan dengan prinsipnya.

“Kenapa perlu menunggu sehingga 46 pertuduhan Musa digugurkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Apabila cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Warisan gagal, Kenny tampil dengan naratifnya yang hanya boleh dipercayai oleh kanak-kanak.

Carol berkata, Kenny patut mencari naratif baharu yang lebih menyakinkan rakyat Inanam yang kecewa atas pengkhianatan yang dilakukan.

Menurutnya, dalam kes Darell Leiking dan Junz Wong yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Warisan, keadaan itu berbeza kerana mereka masih pembangkang di Sabah ketika itu.

Dalam kes Kenny, dia meninggalkan PKR bagi menyertai Musa Aman untuk merampas kuasa dan menjatuhkan kerajaan Sabah.

Tambahnya, beliau juga tidak akan terkejut jika Kenny tiba-tiba membuat tuduhan terhadap Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew demi kelangsungan politiknya.

Mengenai kenyataan Kenny untuk menyaman sesiapa yang mendakwanya melompat parti kerana menerima wang jutaan ringgit.

”Itu haknya untuk menyaman. Saya tidak menuduhkan menerima rasuah namun, hakikatnya dia antara ADUN yang berperanan dalam menjatuhkan kerajaan Warisan-PH-UPKO.

“Secara teorinya dia telah khianati kepercayaan 10,000 penduduk Inanam yang kini mengelarnya katak. Adakah dia akan menyaman kesemua rakyat,” ujarnya.

Semalam, Kenny menyatakan akan menyaman sesiapa sahaja yang menuduhkan menerima rasuah untuk melompat parti.

Penyandang ADUN Inanam ini berkata, sesiapa yang membuat dakwaan sebegitu termasuk di media sosial harus mengemukakan bukti jika tidak mahu berdepan dengan tindakan undang-undang.