Warisan Pertikai Keputusan Kerajaan Tangguh Pembentangan RUU Berkaitan MA63

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mempertikaikan keputusan kerajaan bagi menangguhkan pembentangan berkaitan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dalam persidangan Parlimen akan datang.

Pindaan itu akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Malaysia.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan menangguhkan pindaan rang undang-undang berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan satu kekecewaan yang besar kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Rakyat di kedua-dua negeri ini amat ternanti-nanti pembentangan kali kedua ini setelah pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 2019 gagal memperoleh undian dua pertiga.

Beliau berkata, perkara itu sudah dikaji beberapa kali biarpun ia sudah dibincangkan sejak pemerintahan empat Perdana Menteri terdahulu. Namun, sehingga kini ia masih belum selesai.

Katanya, beliau menghargai komitmen Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana berusaha meneruskan pindaan ini.

“Beliau berusaha memastikan semua perkara sedia untuk dibentangkan di Parlimen namun, amat mengecewakan apabila Kabinet tiba-tiba memutuskan untuk mendapatkan penjelasan daripada Peguam Besar Negara.

“Amat penting untuk menyokong MA63 kerana ia merupakan perkara yang penting kepada rakyat dan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rang undang-undang bagi melakukan pindaan Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan tidak berada dalam senarai perkara dibentangkan oleh Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk Mesyuarat Khas Kedua, Penggal keempat persidangan Parlimen ke-14 akan datang.