Warisan Pertahan Kerusi Di Pantai Timur Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Walau tidak berjaya memenangi keseluruhan 54 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan sekutu dalam Warisan Plus masih berjaya mengekalkan rekod cemerlang di Pantai Timur Sabah.

Secara keseluruhan, daripada 29 kerusi yang dimenangi Warisan Plus, 16 daripadanya dimenangi di kawasan Pantai Timur Sabah.

Warisan menyapu bersih 11 kerusi DUN di empat kawasan Parlimen di Pantai Timur  Sabah iaitu di kawasan Batu Sapi, Sandakan, Silam dan Semporna.

Kerusi Dun itu adalah Tungku, Segama, Silam, Kunak, Sulabayan, Senallang, Bugaya, Sekong, Karamunting, Elopura dan Tanjong Papat.

Lima kerusi lain yang dimenangi di Pantai Timur Sabah adalah Sebatik, Merotai, Kukusan, Sri Tanjong dan Gum-Gum.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) memenangi enam kerusi, Perikatan Nasional (PN) satu dan Bebas satu kerusi.

Manakala, di kawasan komuniti Cina, rakan sekutu Warisan, Parti Tindakan Demokratik (DAP) turut mengekalkan rekod cemerlang apabila berjaya mempertahankan enam kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Kerusi yang berjaya dipertahankan oleh DAP yang bertanding atas tiket Warisan adalah Luyang, Kapayan, Likas, Elopura, Sri Tanjong dan Tanjong Papat.