Warisan Perlu Perbaiki Pencapaian Untuk Terus Kekal Relevan – Azis Jamman

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) harus melakukan kaji selidik untuk mencari kelemahan dan kesilapan yang wajar diperbaiki untuk memastikan parti itu kekal relevan di Sabah pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman berkata, beliau yakin Warisan boleh memperbaiki pencapaiannya dan mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Hari ini Warisan sudah berada di pihak Kerajaan Persekutuan walaupun dengan jumlah yang jauh lebih kecil, namun mereka tidak sewajarnya menjadikan itu sebagai alasan untuk patah semangat.

Jika dilihat parti-parti besar yang lain seperti UMNO, MIC dan MCA juga telah menunjukkan pencapaian yang tidak baik sejak beberapa pilihan raya yang lepas namun, rakyat masih memberi kepercayaan kepada parti-parti berkenaan.

Mohd Azis berkata, Warisan adalah parti yang agak muda yang pastinya punya masa depan yang jauh lebih cerah jika pemimpin akar umbi dapat memperbaiki kelemahan yang ada.

Keputusan pilihan raya yang lepas juga adalah manifestasi bahawa rakyat Sabah masih belum punya keyakinan untuk berdiri di atas kaki sendiri seperti dilakukan di Sarawak.

Di sana, rakyat Sarawak lebih mempercayai parti tempatan untuk memperjuangkan nasib dan masa depan mereka. Mungkin rakyat Sabah perlukan lebih masa untuk membolehkan Sabah menjadi seperti Sarawak.

Menurut beliau, fokus kini harus diberikan untuk memulihkan ekonomi negara, menurunkan kos sara hidup rakyat dan yang lebih utama berusaha untuk mengembalikan semua keyakinan pelabur asing untuk kembali melabur di Malaysia.

Cabaran dihadapan tidak mudah bagi barisan kabinet yang baru dibentuk ini untuk memulihkan keadaan ekonomi negara yang disarati dengan beban hutang yang banyak melebihi RM1 trilion.

Mengulas lanjut katanya beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada seramai 259,518 pengundi Warisan di seluruh Sabah.

“Saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada 18,594 pengundi di kawasan Parlimen Sepanggar yang telah mengundi saya walaupun dengan keterbatasan yang saya ada sepanjang pilihan raya yang lepas,” katanya.