Warisan, Parti Pertama Pinda Perlembagaan Selari RUU Anti Lompat Parti

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menjadi parti politik pertama yang meminda Perlembagaan selari dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pindaan terhadap Perlembagaan parti itu diubah bagi menyokong RUU Anti Lompat Parti.

“Kita berharap undang-undang ini dapat diamalkan di semua negeri-negeri seluruh negara. Jika presiden-presidn parti di Dewan Rakyat dan Dewan Negara boleh menyokong kelulusan RUU itu maka, tiada alasan untuk mereka tidak menyokong pelaksanaannya di peringkat negeri.

“Ini penting bagi membolehkan kita memberi gambaran yang baik kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Parti ini begitu terkesan kerana tujuh hingga lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kita keluar parti. Itu sebabnya, kita mengambil langkah di peringkat parti dan diharap pemimpin parti-parti lain juga bertindak begitu,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berharap semua negeri-negeri di Malaysia akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti melalui mesyuarat khas di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Ini bagi membolehkan pelaksanaan undang-undang Anti Lompat Parti diselaraskan dengan pelaksanaan di peringkat persekutuan.

“Saya yakin bulan September ini Yang diPertuan Agong akan menandatangani undang-undang ini untuk diwartakan kerana Dewan Negara juga telah meluluskan RUU Anti Lompat Parti.

“Saya selaku Ketua Pembangkang di peringkat negeri Sabah akan bekerjasama sebaik mungkin untuk sama-sama memberi sokongan kepada pindaan undang-undang yang ada,” ujarnya.